Islam is the way of liFe

He who transgresses or wrongs his own soul but then turns to Allah seeking forgiveness shall find Allah Forgiving, Merciful.

- Qur'an, An-Nisa, Surah 4:110

Monday, May 31, 2010

Hukum Pergaulan Lelaki dan Perempuan

1) Menutup aurat. Firman Allah SWT: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan Yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar);.. “(al-Ahzab:59). Aurat wanita dengan lelaki bukan mahram ialah seluruh tubuh kecuali muka dan pergelangan tangan. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW kepada Asma’ RA: “Wahai Asma’! Sesungguhnya seorang wanita apabila sudah baligh, dia tidak patut memperlihatkan tubuhnya itu melainkan ini dan ini, sambil baginda menunjukkan muka dan kedua-dua telapak tangannya.” (Riwayat Abu Daud)
Aurat lelaki dengan wanita bukan mahram ialah daripada bahagian pusat sehinggalah ke lutut.

2) Menjaga pandangan. Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; …(31). (Surah an-Nur, 30-31).
Bukan semua pandangan diharamkan. Imam asy-Syarbini menerangkan: “Pandangan juga dibolehkan pada bahagian yang bukan aurat dengan syarat tidak disertai syahwat dan aman daripada nafsu.” (Mughni al-Muhtaj)

3) Tidak berdua-duaan. Ibn Abbas RA berkata, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda di dalam khutbahnya: “Tidak boleh bagi seorang lelaki berkhalwat dengan wanita melainkan bersamanya mahram.” (Riwayat Muslim)
Perlu diingatkan bahawa, mahram yang menemani pula mestilah yang memahami hukum-hakam agama dan mampu menegur jika kita melakukan maksiat ketika bersama dengan mereka yang bukan mahram. Berapa ramai mahram yang membiarkan sahaja saudaranya melakukan maksiat!

4) Tidak melembut-lembutkan suara. Firman Allah SWT: “Maka janganlah kamu wahai wanita, merendahkan (melembutkan) suaramu maka dibimbangi orang yang berpenyakit di hatinya beringinan jahat kepadamu, maka bercakaplah hanya dengan kata-kata yang baik ( kandungan dan tatacaranya)” (Al-Ahzab : 32)
Imam As-Suddi berkata : larangan ini bermaksud larangan kepada kaum wanita menipiskan suaranya (lembut, lunak dan manja) apabila bercakap di hadapan khalayak lelaki. Imam Qurtubi pula mengatakan, kerana suara yang sebegini akan menjadikan orang-orang lelaki munafiq dan ahli maksiat berfikir jahat. (Tafsir Ibn Kathir, 3/483 ; Al-Jami’ Li Ahkam Al-Quran, 14/177).

5) Tidak bersentuhan (tidak kira berlapik mahupun tidak). Daripada Ma’qil bin Yasar ra, : ” Bahawa ditusuk kepala dengan jarum besi lebih baik daripada memegang-megang perempuan yg tidak halal baginya.” (Riwayat at-Thabrani, di sahihkan oleh al-Albani di dalam Shahih al-Jami’:5045).

Larangan menyentuh ini adalah mutlaq tidak kira berlapik mahupun tidak. Jika ada yang beralasan boleh menyentuh jika dengan berlapik, maka tanyalah diri sendiri, berapa banyak bahagian sulit di tubuh kita yang berlapik, akan tetapi adakah kita akan membenarkan ia disentuh? Maka jika tidak, sama sahajalah dengan menyentuh mana-mana bahagian tubuh bukan mahram sama ada berlapik atau tidak, ia tetap haram.


No comments:

Post a Comment